Ahad, 1 Februari 2009

14th January 2009..hari ketiga..

Hari ini hari ketiga saya di sekolah. PMD masih berjalan seperti semalam. Pengisian untuk PMD hari ini lebih kepada ceramah tentang Teknik Mendengar dan Teknik Belajar. Sesi pertama PMD dimulakan dengan kumpulan kedua, mereka diberi pendedahan tentang Teknik Mendengar yang betul. Pada sesi pertama ini, saya mengendalikan ceramah dengan dibantu oleh Rasidi. 

Seterusnya sesi kedua bersama kumpulan pertama tingkatan 1,  giliran Rasidi pula memberi ceramah tentang Teknik Belajar. Kami membahagikan tugas agar tiada pertindihan atau salah seorang daripada kami dilihat menguasai semua tugasan. Saya berasa sangat bersyukur kerana pada saya sangat mudah bekerjasama dengan Rasidi, beliau juga sangat bertolak ansur dan sangat terbuka. PMD tamat pada pukul 1.50 petang. Seterusnya saya menghadiri perjumpaan Unit Beruniform.  Bermula dari pukul 2.00 petang dan tamat pada pukul 3.00 petang. Sama seperti semalam, saya juga terlibat dengan latihan merentas desa. Selesai latihan, kami di benarkan pulang. 

Hari ini saya berasa lebih selesa berada di sekolah. Saya juga berasa seronok dengan tugasan yang diberikan. Walaupun pada mulanya agak tertekan, kerana melayan kerenah pelajar yang bermacam ragam, namun saya positifkan diri,  inilah setting sebenar.. inilah juga  yang perlu saya hadapi sekarang dan masa depan. Mendengar rungutan rakan-rakan di sekolah lain yang lebih mencabar, saya patut dan harus bersyukur kerana sekolah saya adalah sekolah yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang terpilih dan mempunyai rekod displin yang baik. Jika ada pun, hanya segelintir dan sangat kecil jumlahnya berbanding sekolah lain di sekitar Kuala Kubu. Saya dapati, agak mudah mengendalikan pelajar tingkatan satu. Ini kerana mereka sangat patuh dan bersemangat.  Apabila melihat mereka memberi respon terhadap apa yang saya sampaikan, ia seolah-olah satu kekuatan kepada saya untuk terus memberikan yang terbaik kepada mereka. Semoga esok lebih baik.. amin..









  

13th January 2009..hari kedua..



Hari kedua di SMKKKB, kami diberi tugasan pertama mengendalikan program yang telah dirancang oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMKKKB. Program yang dinamakan Program Maju Diri (PMD)  merupakan program yang wajib dijalankan di setiap sekolah di Negeri Selangor terutamanya pada tingkatan satu selama seminggu. Namun, SMKKKB mengambil inisiatif untuk menjalankan program ini kepada setiap tingkatan. 
Berbeza dengan pelajar tingkatan satu, program ini hanya dijalankan selama dua hari bagi setiap tingkatan. Hari ini, saya dan Rasidi menjalankan bimbingan kelompok melibatkan semua peserta PMD. Semua pelajar tingkatan satu dibahagikan kepada dua kumpulan, kumpulan pertama yang terdiri daripada tingkatan 1 Siber, Bios dan Cimos  mengikuti PMD dari pukul 7.30 pagi hingga 10.10 pagi. Seterusnya kumpulan kedua yang terdiri daripada tingkatan 1 Digital, Gigabait dan Megabait pula mengikuti PMD selepas kumpulan pertama iaitu bermula pukul 10.30 pagi hingga 1.50 petang. Memandang ini merupakan hari pertama PMD dijalankan, kami merancang dan melaksanakan modul yang lebih bermotifkan membina hubungan. Antaranya, kami menjalankan ice breaking, aktiviti permainan kaunseling dan energizer.  Kali pertama mengendalikan program yang agak besar benar-benar memberi cabaran kepada saya. Selama ini, jika menjalankan program, ramai rakan-rakan membantu, tetapi kali ini sangat berbeza. Kami hanya berdua mengendalikan pelajar yang agak ramai walaupun telah dibahagikan kepada dua kumpulan. 
Pada mulanya saya agak gementar dan kurang berkeyakinan, namun, melihat respon positif daripada para pelajar dan kaunselor pembimbing saya semakin yakin dan tidak gementar. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar sehingga program tamat.  Selesai PMD, saya perlu menghadiri mesyuarat kokurikulum yang diadakan untuk semua pelatih UPSI. Setelah tamat mesyuarat yang mengambil masa selama sejam, kami pelatih UPSI, diminta mlibatkan diri dengan aktiviti latihan merentas desa. Saya diberi tugas menjaga check point di Kampung Razak, iaitu sebuah perkampungan orang asli yang berhampiran dengan padang golf. Walaupun agak keletihan kerana seharian menjalankan PMD, tetapi aktiviti outdoor seperti ini dapat merehatkan minda dan sangat menyeronokkan. Selain daripada itu, dengan meyertai aktiviti ini saya juga dapat mendekati para pelajar dengan lebih santai. Latihan tamat pada pukul 5.30 petang dan kami dibenarkan bersurai. Phew..hari kedua, yang indah...