Rabu, 4 Mac 2009
hari kelapan..phew..
Hari kedua, minggu kedua, PMD untuk tingkatan 4 bermula. Pada awal sesi kami melaksanakan aktiviti senamrobik dan ice breaking agar pelajar lebih jelekit dan selesa dengan kami. Seterusnya, selepas mereka selesa saya dan Sidi meneruskan aktiviti seterusnya iaitu menjalankan dan mentadbir inventori. Selesai mereka menjawab dan memperolehi skor masing-masing, saya mengintrepretasi skor perolehan mereka. Aktiviti yang sama kami jalankan ke atas pelajar tingkatan 4 sesi kedua iaitu kumpulan selepas rehat. Mereka memberi kerjasama yang baik dan mereka sendiri begitu teruja mahu mengenali siapa diri mereka dengan lebih mendalam. Selesai dengan inventori, kami menayangkan klip video yang berkisar tentang matlamat dan strategi seseorang dalam melaksanakan sesuatu matlamat. Selepas menayangkan video, kami meminta mereka membuat refleksi seterusnya memberi pandangan dan pendapat mereka di hadapan. Melalui aktiviti ini, mereka dapat menonjolkan potensi diri mereka, dan sekaligus menghilangkan rasa gementar berdepan dengan audiens. PMD tamat tepat pukul 1.50 petang. Hari ini saya perlu mnghadiri latihan rumah sukan di padang sekolah. Bermula dari pukul 2.30 petang, dan tamat pukul 5.00 petang. Selain bersukan, saya juga mempromosi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Pada malam harinya, saya datang ke asrama untuk bersama-sama pelajar baru untuk orientasi asrama. Permainan kaunseling iaitu kotak beracun dijalankan ia bagi memberi keselesaan dan menambah kejelekitan setiap peserta. Modul yang akan dijalankan pada malam ini agak berat, iaitu Muhasabah Diri. Ia seakan-akan modul Subcoutios namun pendekatannya lebih straight forward di mana pelajar terus diberi kesedaran tentang pengorbanan ibu bapa. Pada awal pelaksanaan modul ini, saya membenarkan AJK tertinggi asrama untuk menunjukkan bakat mereka dalam melaksananakan aktiviti, ini kerana mereka memaklumkan kepada saya, bahawa mereka biasa menjalankan aktiviti sebegini. Namun melihat reaksi peserta yang agak kurang memberangsangkan, saya mengambilalih dengan melaksanakan aktiviti serupa iaitu Modul Bahteraku. Modul ini pernah dijalankan oleh seorang rakan semasa di UPSI. Ia memerlukan pelajar membayangkan mereka sekeluarga bersama-sama di atas sebuah kapal, kapal tersebut pecah dan hampir tenggelam, apa yang mereka perlu lakukan ialah membuang satu persatu ahli keluarga termasuk ayah dan ibu ke dasar laut. Provokasi dari pelaksana akan menjadikan peserta bermain dengan emosi mereka dan sekaligus menyedarkan mereka betapa kasih dan sayangnya mereka kepada kedua ibu bapa dan keluarga. Hasilnya agak memuaskan, mereka kelihatan terpukul dengan apa yang baru mereka rasai. Di akhir aktiviti, mereka diminta menulis sepucuk surat kepada ayah dan ibu. Ada yang berikrar tidak menghampakan kedua ibu bapa, ada yang memohon ampun, dan tak kurang juga yang menyatakan rasa kasih, sayang dan rindu mereka terhadap keluarga. Sebelum tamat aktiviti tersebut, kami seterusnya menenangkan kembali emosi mereka dengan berzikir dan berdoa. Selesai Muhasabah Diri, pelajar dibenarkan pulang ke dorm dan tidur. Namun seorang pelajar datang ditemani rakannya meminta pandangan dan bimbingan dari saya tentang cita-cita dan perancangan masa depannya. Saya menjalankan bimbingan individu dengannya sehingga pukul 1.30 pagi. Tamat sesi, saya pulang ke rumah. Walaupun seharian menjalankan aktiviti, namun terasa masa berlalu. Saya semakin seronok memberi perkhidmatan kepada para pelajar. Betul kata orang, bila kita seronok lakukan apa yang kita minat, segalanya tidak mustahil. Semoga esok lebih baik dari hari ini.. amin...
..minggu kedua,hari ketujuh..
Pada hari ini saya dan Sidi diberi tanggungjawab menjadi pengacara majlis Penyerahan Watikah kepada Majlis Kepimpinan Pelajar SMKKKB dan juga Penyerahan Kuasa Merotan kepada beberapa orang guru displin. Selesai majlis, saya berjumpa dengan seorang guru di kantin, dan kami berbual-bual tentang masalah pelajar. Saya mengambil kesempatan untuk meminta kebenaran untuk masuk ke kelas sekiranya guru tiada. Permintaan saya disambut gembira oleh mereka. Dan mereka meminta saya agar masuk ke kelas tingkatan 3 Megabait dan memberi bimbingan kepada pelajarnya. Pada waktu yang ditetapkan, saya masuk ke kelas dan mengadakan sesi bimbingan kelompok. Tidak saya nafikan, kelas ini agak mencabar untuk dikendalikan. Pelajarnya agak hyperaktif dan agresif. Di mana pada awalnya kelihatan pelajar keluar masuk kelas dan berjalan-jalan di dalam kelas walaupun saya ada di hadapan. Oleh yang demikian, pendekatan yang agak tegas saya gunakan, dan akhirnya mereka dapat dikawal dan memberi focus terhadap apa yang saya sampaikan. Tidak banyak yang dapat saya kongsikan, memandangkan jumlah ahli kelas agak besar, sesi ice breaking atau pengenalan memakan masa hampir setengah jam. Kemudian, saya memberi bimbingan tentang penetapan matlamat dan sedikit motivasi untuk mereka. Mereka memberi respon yang positif dan ini yang menjadikan saya kembali bersemangat setelah sedikit terganggu dengan sikap mereka yang agak kurang sopan. Baik lelaki atau perempuan, mereka meminta agar saya selalu masuk ke kelas dan memberi kata-kata semangat kepada mereka. Salah seorang daripada mereka mengakui sudah bosan belajar kerana apa yang dipelajari langsung tidak dapat dikuasai. Saya juga mengambil kesempatan mempromosi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Saya menjemput mereka datang ke bilik kaunseling jika ada yang hendak dibincangkan. Mereka menerima baik dan bersetuju membuat temujanji kelak. Selesai bimbingan di kelas 3M, saya ke bilik kaunseling dan menyediakan persiapan untuk PMD tingkatan 4 esok. Kami merancang untuk mentadbir inventori iaitu Inventori Personaliti Sidek, oleh yang demikian, bahan-bahan perlu disediakan lebih awal. Tepat pukul 2.30 petang, saya bergegas ke bilik mesyuarat untuk menghadiri mesyuarat Taklimat Kelas Projek Khas dan Taklimat Sistem Kawalan Salah Laku Kurikulum 2009. Saya dan Sidi diminta hadir bagi mewakili Unit Bimbingan dan Kaunseling. Banyak maklumat diperolehi dari taklimat ini. Apa yang jelas, SMKKKB mempunyai satu strategi yang mantap dalam memastikan setiap pelajar cemerlang dalam pelajaran. Pukul 4.30 petang, mesyuarat tamat. Hari yang memenatkan, namun banyak pengalaman dan ilmu baru telah saya perolehi. Setelah dua minggu menjadi warga kerja SMKKKB, saya semakin selesa dan suka bekerja di sini. Semoga esok lebih baik.. amin..
Selasa, 3 Mac 2009
..hari keenam..
..Barang rampasan..
..Demonstrasi hukuman ROTAN..
..hari kelima..
Hari ini SMKKKB mengadakan kejohanan merentas desa. Seperti sesi latihan sebelum ini, saya ditempatkan di check point Kampung Razak untuk menjaga keselamatan pelajar.
Memandangkan PMD tiada pada hari ini, saya mengambil peluang merehatkan minda dengan aktiviti luar seperti ini. Sambil menyelam, minum air, saya juga mengambil peluang berkenal-kenalan dengan pelajar-pelajar tingkatan lain. Maklumlah, kaunselor sukar mendapat peluang masuk ke kelas bertemu pelajar, jadi, inilah masa yang sesuai untuk berborak santai dengan mereka. Salah satu strategi promosi perkhidmatan.. Aktiviti merentas desa tamat tepat pukul 12.30 tengahari, dan kami dibenarkan pulang.
Isnin, 2 Mac 2009
..hari keempat..
PMD masuk hari ketiga. Seperti semalam, pengisian lebih kepada ceramah Teknik Mendengar dan Teknik Belajar. Jika semalam kumpulan kedua diberi pendedahan tentang Teknik Mendengar, pada hari ini kumpulan pertama pula diberi ceramah tersebut. Begitu juga sebaliknya. Hari ini lebih membaik, mungkin disebabkan pengalaman semalam, saya cuba memperbaiki kelemahan-kelemahan yang telah saya lakukan semalam. Hasilnya, ceramah hari ini berjalan lebih lancar dan idea lebih banyak dikongsikan.
Hari ketiga ini, saya semakin selesa mengendalikan PMD. Rasa seronok dengan maklumbalas yang diberikan oleh pelajar. Lebih-lebih lagi apabila aktiviti energizer dan senamrobik seperti chicken dance dijalankan. Agak kelakar apabila saya lebih dikenali sebagai cikgu chicken dance di kalangan pelajar tingkatan satu. Di mana saja mereka terserempak dengan saya, tanpa segan silu mereka menggayakan aksi chicken dance. Hmmm... only one word can describe my feeling now.. AWESOME!!!
Selesai PMD kami diminta menghadiri perjumpaan kelab sukan dan permainan. Tepat pukul 3.30 petang, kami dibenarkan bersurai.
Ahad, 1 Februari 2009
14th January 2009..hari ketiga..
Hari ini hari ketiga saya di sekolah. PMD masih berjalan seperti semalam. Pengisian untuk PMD hari ini lebih kepada ceramah tentang Teknik Mendengar dan Teknik Belajar. Sesi pertama PMD dimulakan dengan kumpulan kedua, mereka diberi pendedahan tentang Teknik Mendengar yang betul. Pada sesi pertama ini, saya mengendalikan ceramah dengan dibantu oleh Rasidi.
Seterusnya sesi kedua bersama kumpulan pertama tingkatan 1, giliran Rasidi pula memberi ceramah tentang Teknik Belajar. Kami membahagikan tugas agar tiada pertindihan atau salah seorang daripada kami dilihat menguasai semua tugasan. Saya berasa sangat bersyukur kerana pada saya sangat mudah bekerjasama dengan Rasidi, beliau juga sangat bertolak ansur dan sangat terbuka. PMD tamat pada pukul 1.50 petang. Seterusnya saya menghadiri perjumpaan Unit Beruniform. Bermula dari pukul 2.00 petang dan tamat pada pukul 3.00 petang. Sama seperti semalam, saya juga terlibat dengan latihan merentas desa. Selesai latihan, kami di benarkan pulang.
Hari ini saya berasa lebih selesa berada di sekolah. Saya juga berasa seronok dengan tugasan yang diberikan. Walaupun pada mulanya agak tertekan, kerana melayan kerenah pelajar yang bermacam ragam, namun saya positifkan diri, inilah setting sebenar.. inilah juga yang perlu saya hadapi sekarang dan masa depan. Mendengar rungutan rakan-rakan di sekolah lain yang lebih mencabar, saya patut dan harus bersyukur kerana sekolah saya adalah sekolah yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang terpilih dan mempunyai rekod displin yang baik. Jika ada pun, hanya segelintir dan sangat kecil jumlahnya berbanding sekolah lain di sekitar Kuala Kubu. Saya dapati, agak mudah mengendalikan pelajar tingkatan satu. Ini kerana mereka sangat patuh dan bersemangat. Apabila melihat mereka memberi respon terhadap apa yang saya sampaikan, ia seolah-olah satu kekuatan kepada saya untuk terus memberikan yang terbaik kepada mereka. Semoga esok lebih baik.. amin..